Sunday, July 11, 2010

Guar Cempedak Episod 2

Salam Satu Malaysia ...

Lanjutan dari Guar Cempedak Episod 1, di sini saya ingin menyambung penulisan mengenai pengalaman berada di Guar Cempedak, Kedah. Untuk pengetahuan pembaca sekalian, saya memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Guar Cempedak pada hari Khamis 8 Julai 2010. Perjalanan bermula seawal pukul 8:15 pagi yang mana saya bertolak dari Kampung Baru terus menuju ke utara tanah air. Memang sudah diniatkan untuk menuju ke utara tanah air demi merealisasikan salah satu daripada "5 Misi Mustahil" iaitu untuk pergi ke negeri Jelapang Padi. Syukur pada tuhan kerana dianugerahkan sahabat yang dilahir dan dibesarkan di sana iaitu saudara Najwadi (a.k.a Wadi). Sepanjang tempoh pengembaraan saya di sana, beliaulah yang menemani dan menyediakan segala kemudahan asas (makan & minum) termasuk tempat tinggal.

Saya tiba di Plaza Tol Gurun tepat jam 2:15 minit petang. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 6 jam amat penat untuk diharungi lebih-lebih lagi apabila memandu seorang diri. Setibanya saya di Plaza Tol Gurun, saya dijemput oleh KBU 4223 Wadi dan terus menghala ke kedai Nasi Kandar untuk mengalas perut. Saya agak terkejut kerana stigma pertama saya menyatakan Guar Cempedak seperti Bintulu dari aspek jalan raya sebaik saya keluar dari Plaza Tol Gurun. Namun, segala tanggapan itu dapat saya lenyapkan setelah saya melihat keadaannya yang sebenar. Jauh lebih elok seperti apa yang saya sangkakan. Seterusnya, kami pergi ke rumah saudara Wadi dan berjumpa dengan kedua orang tuanya. Untuk pengetahuan pembaca, bapanya ada lah seorang pesara guru manakala ibunya seorang suri rumah tangga.

Tidak banyak perkara yang dilakukan pada petang itu kerana keletihan mungkin. Memang sudah menjadi lumrah dan sifat fizikal saya apabila keletihan, selera makan akan terus menghilang. Segala jamuan yang disediakan oleh mereka tidak dapat saya telan kesemuanya. Bukan bererti menolak tapi mungkin tekak yang keletihan enggan menerima. Saya suka suasaan persekitaran di sana. Amat nyaman dan tenang tidak seperti di bandar-bandar besar. Airnya amat sejuk. Di rumah tersebut, saya juga diperkenalkan dengan Mawi. Bicara mengenai Mawi akan saya tuliskan pada episod akan datang kerana Mawi merupakan makhluk tuhan yang istimewa.

Pada tika petang itu, kami bertemu dengan rakan-rakan sepermainan Wadi iaitu Suhardy & Nizam. Melepak dan bersembang bersama mereka begitu mengujakan. Seperti melepak bersama-sama rakan-rakan sekolah saya di Klang. Tapi, topik perbualan yang berbeze membuat saya teruja. Secara keseluruhannya, saya lebih banyak mendiamkan diri kerana tidak biasa dengan keadaan itu dan mungkin untuk cuba menyesuaikan diri. Kami menuju ke Pantai Murni sambil menjamu Rojak Buah & Cucor Udang serta Air Jagung. Sebelum maghrib menjelma, kami pulang ke rumah masing-masing.

Aktiviti malam merupakan aktiviti yang begitu saya nantikan. Sebelum itu, saya dijamu makan malam yang disediakan oleh ibu Wadi. Dalam keadaan masih penat dan masih malu, saya tidak makan banyak. Sekadar mengalas perut. Seperti yang dijanjikan, kami berempat akan ke Kolam Air Panas Ulu Lenggong, Baling. Saya pernah terdengar keunikan kolam air panas ini namun belum berkesempatan untuk ke sana. Peluang yang diberi, tidak disiakan begitu sahaja. Kami bertolak dari Guar Cempedak pada jam 9:30 malam. Perjalanan yang agak lama disebabkan keadaan jalan raya serta kekurangan papan tanda, kami telah tersesat. Mujurlah GPS menjadi penyelamat namun, keadaan amat tidak meyakinkan kerana GPS mengarahkan mengikut jalan kebun getah yang amat gelap. Jika lampu KBU 4223 tidak bernyala, maka hanya gigilah yang menjadi sinaran pada malam itu.

Kami tiba di Kolam Air Panas pada pukul 11:30 malam. Setibanya di sana, Suhardy terus mencari kedai burger dan membeli 4 biji burger. Ini adalah burger paling besar saya pernah tengok (tidak termasuk burger McD or KFC). Bagaimana hendak menghabiskan burger sebesar itu? Keadaan tidak memihak kepada saya dan Wadi. Kami tidak mampu menghabiskan makanan tersebut, namun rakan-rakan lain berjaya merealisasikannya. Kolam air panas ini memang betul-betul panas. Kami hanya mampu memasukkan kaki dan sampai ke badan. Tidak berani sama sekali untuk menyelam ape tah lagi berenang di situ. Kami pulang pada jam 1:00 pagi.

Dalam perjalanan pulang, saya dan Nizam telah pun terlelap. Terdengar sayu-sayu suara Suhardy dan Wadi sedang rancak berbual demi menghilangkan rasa mengantuk. Akan tetapi, ada satu ketika, saya tidak terdengar sebarang bunyi dari bahagian depan. Jelas sekali, Suhardy sudah tertidur. Saya tidak dapat meneruskan tidur saya kerana bimbang akan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini kerana keadaan jalan raya sebegitu. Saya hanya mendiamkan diri di belakang sambil mata terbuka. Dalam diam itu, sempat juga melayan lagu Shahir & SUJU. Selepas menghantar pulang Suhardy & Nizam, kami pulang semula ke rumah.

Kelibat Mawi masih lagi kelihatan. Kami terus ke bilik dan mempersiapkan diri untuk berehat dan melelapkan mata. Wadi mencadangkan agar Mawi dibawa bersama kerana Mawi makhluk istimewa. Saya tidak kisah. Tapi belum sampai 10 minit, Mawi telah diarah keluar kerana berperangai tidak senonoh. Siapakah Mawi ini ??? Tunggu ya rakan pembaca.

Ituulah nukilan dan coretan untuk hari pertama ...
Sebarang kejadian yang berlaku, biarlah empunya badan yang tahu dan kongsikan yang mana sesuai ...
Nantikan episod seterusnya ...

No comments:

Post a Comment

Thank you for your comment :)

More in here ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...