Monday, July 12, 2010

Guar Cempedak Episod 3

Salam Satu Malaysia ...

Lanjutan daripada coretan pengalaman semasa berada di utara tanah air Malaysia, kali ini saya akan kongsikan pengalaman untuk hari ke-2 semasa berada di sana. Tanggal 9 Julai bersamaan hari Jumaat. Kami (saya & Wadi) keletihan akibat daripada aktiviti mandi air panas pada malam sebelumnya bersama Suhardy & Nizam. Pagi Jumaat kami dimulakan dengan hidangan sarapan. Pada awalnya, saya amat kaget untuk melelapkan mata lebih lama kerana saya sedar saya sekadar tetamu. Namun, dalam tidak terniat untuk bangun lambat, pukul 9 juga baru saya mandi. Air di situ boleh tahan sejuknya. Menggigil sekejap.

Setelah selesai bersarapan, kami ke kedai untuk membeli komik dan meneruskan siri penjelajahan saya. Destinasi pertama saya ialah ke Batu Hampar dan kemudian ke Air Terjun Titi Hayun. Untuk ke sini, kami akan melalui jalan yang mana terdapat pemandangan Gunung Jerai beserta sawah padi. Pemandangan amat cantik bagi saya yang amat jarang ke kampung. Batu Hampar merupakan lokasi air terjun atau hutan simpan tidak ubah seperti air terjun di Ulu Yam.

Sepanjang perjalanan kami ke sana, kami terserempak dengan beberapa pasangan Melayu. Dialog yang sudah menjadi kebiasaan, "tengok tu, buat projek la tu", kata Wadi. Saya ia kan sahaja sambil cuba mengelak bersangka buruk (konon-konon baik .. xleh blah padahal sama ja kepala ... kah kah kah). Kami tidak pergi jauh pun, hanya singgah sebentar melihat arus sungai yang agak keruh akibat hujan pada sebelah malamnya. Memang tiada niat untuk berendam atau menikmati air di situ sebenarnya.

Tidak jauh dari situ, terdapat Air Terjun Titi Hayun. Tempat rekreasi ini amat terkenal jika tidak silap saya. Ia merupakan tempat riadah keluarga. Di sini terdapat Air Terjun Puteri Mandi & Tangga Kenari. Air Terjun Puteri Mandi sama seperti air terjun lain di Malaysia. Namun, saya ingin menceritakan keunikan Tangga Kenari. Mengikut Wadi, Tangga Kenari merupakan tangga yang dibina sehingga ke puncak Gunung Jerai.

Jika anda ingin menjimatkan penggunaan minyak petrol pada kenderaan anda, anda boleh mendaki tangga tersebut. Lokasi tangga tersebut seperti laluan denai dan tersusun rapi oleh anak-anak tangga. Kami berusaha untuk sampai sehingga ke puncak. Namun, disebabkan beberapa faktor seperti hari sudah ingin tengah hari (Solat Jumaat) dan faktor pakaian yang tidak sesuai, kami batalkan niat untuk ke atas (bukan sebab pancit ok).

Setelah selesai melawat Air Terjun Titi Hayun, kami kembali pulang ke rumah. Di dalam perjalanan pulang, Wadi membeli 2 bungkus air Nira Nipah. Saya tidak pernah minum air tersebut. Harap maaf, tekak saya tidak boleh menerima rasa air tersebut. Air tersebut seakan-akan rasa benda yang saya pernah rasa tapi saya tidak ingat apakah rasa itu. Yang pasti, air itu agak wangi. Setibanya di rumah, saya dijamu untuk makan tengah hari. Walaupun perut masih terisi dek sarapan, saya tidak akan menghampakan tuan rumah. Saya makan juga. Selepas itu, kami bersiap untuk menunaikan Solat Jumaat di masjid berdekatan.

Aktiviti sebelah petang tidak banyak bezanya. Mengikut perancangan, kami akan ke Lembah Bujang, namun saya telah mencadangkan agar kami ke Alor Star mencari Jalan Langgar atau lebih tepat mencari Jalan Titi Haji Idris. Secara jujurnya, saya tidak tahu pun jalan untuk ke sana. Semuanya berdasarkan pengalaman Wadi. Kerana dia pun tidak mahir, dia menelefon abang dia untuk memberi bantuan kepada kami. Akhirnya kami jumpa jalan yang dicari. Aku masih teringat dialog di dalam kereta.

Wadi: Jalan Titi Hj Derih kat na?
Abg. Wadi: Ikut Jalan Langgarq nampak Pejabat Pos hang kona kanan. Nak buat pa kat sana?
Wadi: Nak jumpa Hj. Derih.
Abg. Wadi: Kirim salam kat dia na.

Sebenarnya, Titi Haji Idris merupakan nama jalan. Kadang-kadang mendengar dialog perbualan mereka membuatkan aku tergelak sorang-sorang. Begitu banyak idea kreatif yang begitu 'smooth'. Ha ha ha ... Mungkin itu ialah "The Beauty of Kedah". Rumah yang kami ingin cari tidak terjumpa. Lalu, kami menukar sekali lagi perancangan iaitu hendak ke Jitra (rumah Abg. Din a.k.a abg. Wadi). Selama saya memandu, saya tidak pernah menjumpai toll yang berharga 40 sen. Namun, di sini terdapat satu tol bernilai 40 sen dalam perjalanan ke Jitra.

Setibanya di rumah abg. Din, saya terkejut kerana belum masuk di rumah, expressi saya terhadap rumah tersebut seperti "Muzium". Dalam erti kata lain, agak banyak barang-barang antik atau abg. Din lebih gemar menyebut "Classic". Diajaknya saya untuk melihat segala koleksi yang beliau ada. Agak menarik dan teruja. Walaupun Wadi seakan memberi tanda jangan melayan abg. Din, namun saya ingin tengok lebih dekat lagi. Memang abg. Din seorang yang kuat "merapu". Tapi, anda tidak akan kering gusi kalau bersembang dengannya. Yang buat saya teringat kat abg. Din nih ialah anak dia yang berusia 2 tahun (Ariff) & Jamil Bin Abu. Adakah patut dia panggil saya Jamil Bin Abu. Orang panggil saya Jamel sahaja. Memang peminat barangan klassik, sudah pasti meminati filem P. Ramlee.

Tujuan kami ke rumah abg. Din adalah untuk mengajak beliau ke Bukit Kayu Hitam. Atas urusan lain, beliau tidak dapat turut serta. Akhirnya, kami berdua yang pergi ke sana. Ini merupakan kali pertama saya ke Bukit Kayu Hitam melalui post kawalan Imigressen. Singgah di Zon Bebas Cukai sebentar sebelum patah semula. Selesai sahaja di Bukit Kayu Hitam, kami terus pulang ke Guar Cempedak.

Aktiviti malam tidak banyak yang berlaku. Kalau dasar kaki "stalker" malam kami pada hari Jumaat itu hanyalah menonton Imam Muda (saya seorang yang menonton) & bermain FB (sambil stalking). Tidak juga kurangnya melayan Forum di Lowyat.Nett. Semuanya biarlah di situ dan tidak perlu dihurai panjang. Saya masih tidak bercerita mengenai Mawi bukan ??? Semakin hampir cerita itu ... Pada hari ke-3 (episod ke-4) ...

Itulah nukilan dan coretan untuk hari kedua ...
Sebarang kejadian yang berlaku, biarlah empunya badan yang tahu dan kongsikan yang mana sesuai ...

Nantikan episod seterusnya ...

No comments:

Post a Comment

Thank you for your comment :)

More in here ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...