Tuesday, September 21, 2010

Pilih Dengan Bijak Walau Tidak Tepat

Salam Satu Malaysia ...

Kehidupan merupakan satu pilihan. Anda setuju? Anda jawap, dan terima seadanya. Saya tidak akan merungkai lebih dalam mengenai pilihan tetapi saya hanya akan mengutarakan pendapat saya. Pilihan di depan mata, kenapa tidak memilih? Anda terlalu inginkan kesempurnaan? Pernahkah anda terfikir, jika seseorang meminta anda untuk mencari bunga yang paling cantik di lapangan padang dengan syarat anda tidak boleh berpatah balik, adakah anda mampu dan yakin bunga yang anda cari itu adalah yang tercantik? Sebagai contoh, saya berjalan mencari bunga, saya menjumpai satu, tetapi saya yakin ada lebih cantik dihadapan, tapi pada hakikatnya, bunga yang saya jumpa sebelum itu adalah yang paling cantik. Adakah kita harus berasa menyesal? Anda jawap, dan terima seadanya.

Seperti mana hidup ini, kita diberi pelbagai pilihan. Mungkin pilihan yang kita buat tidak menyebelahi ktia pada dasarnya. Tapi, mungkin ia amat berguna pada satu ketika nanti. Saya rasa terpanggil untuk menulis entri ini selepas bersembang secara virtual dengan salah seorang rakan yang sedang berjuang dalam menentukan pilihan terbaik untuk kerjaya beliau. Tidak ubah seperti saya sekarang. Saya juga memerlukan pilihan dan ingin membuat pilihan dalam menentukan hala tuju kerjaya saya pada masa akan datang.

Secara umumnya, pilihan bukan sahaja pada sudut pandang kerjaya. Ia juga terungkai dan tersemat dalam sudut pandang kehidupan secara keseluruhan. Kita hanya manusia yang bisa membuat pilihan berdasarkan analysis otak yang mana mungkin tepat mungkin juga tidak. Mungkin ia tepat pada masa sekarang, tapi pada masa akan datang, kita tidak tahu lagi. Begitu juga sebaliknya. Dengan itu, janganlah kita terperangkap dengan pilihan yang kita telah buat kerana penyesalan bukanlah jalan terbaik untuk kehidupan dan bukanlah noktah untuk kehidupan. Anggaplah ia sebagai permulaan bijak dalam menempuh hari muka.

Sebagai penutup, kita sebagai manusia tidak lari dari membuat pilihan bijak. Ingatlah, jika terlalu mengejar kesempurnaan, mungkin kita terjerat dengan permainan sendiri. Bersedialah jika pilihan yang dibuat tidak memihak kepada kita. Berwaspadalah bahawa kita mungkin terpaksa membuat pilihan yang kita sendiri tidak jangka. Semuanya terletak di tangan kita. Pilihlah dengan bijak. Kepada rakanku yang mungkin membaca entri ini, janganlah terlalu memikirkan tentang pilihan yang anda ada, Sesuatu yang hebat pasti akan menunggu di hadapan untuk orang yang hebat. Pilihlah dengan bijak walaupun ia tidak tepat.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your comment :)

More in here ...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...